SEPTEMBER 2023

Kembara Kenali Borneo Wajar Anjakan Pembangunan Sabah, Sarawak - Fadillah


KUCHING: Kembara Kenali Borneo (KKB) wajar menjadi anjakan serta batu loncatan untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak ke arah penambahbaikan yang lebih baik berbanding sebelumnya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dari segi ekonomi, infrastruktur misalnya jalan raya dan pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan yang akan datang. 

"Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negeri-negeri Borneo ini, memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. 

"Terima kasih kepada Istana Negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, rakyat 

jelata yang menyatakan sokongan dan berkongsi kegembiraan bersama sepanjang KKB Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  dan semua pihak yang membantu menjayakan kembara ini. 

"Alhamdulillah berkat sokongan padu semua, KKB yang bermula di KM 0 Tawau, Sabah dan 

berakhir 13 September di KM 0 Telok Melano, Sarawak lancar dan jayanya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Penyelaras KKB Yang Di-Pertuan Agong berkata, Kembara ini juga menonjolkan betapa seharusnya rakyat jelata dan Raja berpisah tiada.

"Banyak iktibar yang dapat kita perolehi dari KKB ini. Bukan sahaja satu Malaysia malah satu dunia telah menyaksikan betapa Ketua Tertinggi Negara buat pertama kali dalam sejarah mengadakan kembara selama 11 hari (3 September - 13 September 2023) dengan memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak dan ianya mendapat sambutan sangat luar biasa dari rakyat jelata.

"Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar," jelasnya.

Katanya, Tuanku telah mengilhamkan Kerajaan Perpaduan sehingga menjadi kenyataan di bawah Perdana Menteri Kesepuluh dan semangat perpaduan yang utuh telah dibuktikan oleh rakyat di kedua-dua negeri ini menerusi sambutan keberangkatan tiba Baginda ke semua lokasi.

Gambar: Fadillah Yusof

Sumber dari : Jiwa Bakti